19 August 2013

Kanak-Kanak Obes Berisiko Menghidapi Penyakit Kronik

 


Ketika ini sedarkah anda masalah obesiti menjadi semakin serius di kalangan kanak-kanak dan remaja terutamanya di negara membangun? Masalah obes kalangan kanak-kanak sebenarnya mendedahkan mereka kepada serangan penyakit lebih awal. Mengapa obesiti kalangan kanak-kanak ini berlaku. Berikut antara puncanya.



Pemakanan

  • Ia merupakan antara faktor utama obes. Ibu bapa perlu mendidik anak daripada kecil supaya mengamalkan pemakanan sihat dan hindari makan segera dan berkalori tinggi.

  • Semakin pesat sesebuah negara, semakin banyak kemudahan yang disediakan. Segalanya berada di hujung jari. Makanan segera sewenang-wenangnya boleh dipesan dan dihantar terus ke rumah.

  • Restoran makanan segera yang boleh didapati dengan mudah mendorong anak-anak untuk mengunjunginya.

  • Makanan yang masuk tidak sepadan dengan jumlah kalori yang keluar.



Genetik

  • Faktor genetik bukanlah punca kanak-kanak obes 100 peratus.

  • Selalunya kanak-kanak yang obes mempunyai ibu, bapa atau kedua-duanya sekali yang turut mengalami masalah tersebut.



Gaya hidup

  • Perkembangan arus teknologi menggalakkan anak-anak untuk duduk sahaja di rumah. Mereka lebih selesa bermain permainan komputer dan menghadap gajet-gajet yang disediakan ibu bapa.

  • Berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya. Mereka lebih suka keluar beriadah bersama teman di taman dan bersukan bersama-sama.



Psikologi

  • Secara umumnya golongan dewasa dan juga kanak-kanak yang mengalami tekanan akan makan dengan lebih banyak dan secara tidak langsung menyebabkan obesiti.

  • Keadaan ini juga sama bagi kanak-kanak yang mengalami masalah kemurungan.



Metabolisme

  • Ini disebabkan metabolisme yang rendah. Oleh itu penggunaan kalori yang rendah menyebabkan lebih banyak lemak terbentuk dan secara langsung menjadikan kanak-kanak itu obes. Di antara masalah metabolisme adalah hormon tiroid, berlebihan hormon kortisol dan sekarang ini kekurangan hormon leptin.
 
  • Selain itu, tanggapan masyarakat bahawa gemuk itu comel dan sihat semasa kanak-kanak harus ditepis kerana keadaan itu boleh berlarutan sehingga anak dewasa. Gemuk dan tembam tidak bermakna jika anak tidak sihat!
 
  • Obesiti kalangan kanak-kanak khususnya berusia bawah tujuh tahun mungkin kelihatan comel. Namun apabila mereka mula memasuki alam persekolahan, ia boleh memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan sosial mereka apabila diejek rakan sekelas. Malah anak juga mungkin kurang ceria dan tidak bersemangat mengikuti pelbagai aktiviti di sekolah lantaran selalu diejek.



Peranan ibu bapa

  • Jangan kerana sayangkan anak, anda serahkan segala pilihan kepada mereka. Jangan takut untuk berkata “tidak”. Mungkin perasaan kasihan timbul dalam diri tetapi percayalah ia akan menjadi kebiasaan. Lambat laun mereka akan faham dengan keadaan tersebut.
 
  • Anak-anak perlu mendapat makanan harian yang berkhasiat. Pastikan mereka bersarapan di rumah terlebih dahulu kerana anda tahu apa yang mereka makan. Oat bersama susu pun sudah mencukupi.
 
  • Tanya anak setiap hari apa yang mereka makan di sekolah. Jika makanan ringan ada dalam senarai mereka, pujuk dan gunakan pendekatan psikologi dengan mengatakan ia tidak sihat untuk badan.
 
  • Proses pengurangan berat badan bukan berlaku sekelip mata tetapi memerlukan masa dan dorongan keluarga. Jangan sekali-kali mengurangkan makanan kanak-kanak tetapi berikan makanan lebih sihat seperti sayuran dan buahan.
 
  • Pujian akan menambah sikap positif kanak-kanak dan ini memudahkan lagi proses pengurangan berat badan. Oleh itu, seringlah memuji mereka.

  • Ubah sedikit demi sedikit menu makanan harian di rumah. Jangan sesekali anda mengasingkan menu anak yang obes. Pastikan menu yang dimakan adalah sama dengan ahli keluarga yang lain sebagai tanda sokongan dan mengelakkan mereka rasa disisihkan.
 
  • Pastikan makanan yang dipilih berserat tinggi dan kandungan lemaknya rendah.
 
  • Jika anak anda berumur lebih dua tahun, gunakan susu rendah lemak kerana ia membantu mengurangkan berat badan.

  • Pastikan anak-anak makan di atas meja makan.


Periksa Kelas BMI Anak

Anda boleh uji Indeks Jisim Badan (BMI) anak-anak untuk memastikan adakah pembesaran mereka normal. Ukurannya sama sahaja seperti golongan dewasa iaitu berdasarkan tinggi dan berat mereka. Ukuran BMI yang normal ialah di bawah paras 25. 25 hingga 30 adalah overweight manakala 30 dan ke atas sudah dikategorikan sebagai obesiti.



Ukuran BMI

Cara kiraan BMI ialah membahagikan berat badan dengan ketinggian (dalam meter) ganda dua iaitu:



Berat (kilogram)

[Tinggi (meter) x tinggi (meter)]



Namun, ukuran ini agak sukar dilakukan bagi kanak-kanak. Secara amnya, jika berat mereka 85 peratus lebih daripada kanak-kanak sebaya, maka mereka tergolong dalam kategori berat badan berlebihan.



Bayi boleh obes



Konsep bayi obes adalah sesuatu perkara baru dan tidak mudah diterima. Menjadi tanggapan biasa bayi gemuk dan comel adalah sihat, tetapi ada penyelidikan menunjukkan kebanyakan golongan dewasa yang obes bermula daripada bayi yang mempunyai berat badan berlebihan. Memulakan makanan pejal yang berkarbohidrat tinggi pada usia terlalu awal dan minuman yang mempunyai kandungan gula seperti jus memberi kesan pada berat bayi.



Banyak kajian yang dijalankan mendakwa faktor genetik bukanlah satu-satunya punca utama obesiti. Ia sebenarnya boleh diatasi dengan mewujudkan programsihat iaitu melalui pemakanan, malah boleh dididik sejak bayi lagi di mana kaum ibu boleh memulakannya dengan penyusuan badan.



Kajian menunjukkan, bayi yang diberi penyusuan badan secara eksklusif selama lima hingga enam bulan pertama kurang risiko menghidap obesiti.



Susu formula sebenarnya mengandungi tinggi protein dan berisiko untuk menyebabkan bayi tersebut membesar dengan lebih cepat daripada yang sepatutnya. Sehingga kini, tiada satu pun syarikat pengeluar susu bayi berjaya menghasilkan susu formula menyamai khasiat yang terkandung di dalam susu ibu.



Namun anda tidak perlu risau jika bayi anda minum susu dengan jumlah yang banyak kerana permintaan mereka itu sendiri sebenarnya bergantung kepada keperluan sebenar mereka dan kebiasaannya dua ke tiga jam sekali.



Bagaimana membantu kanak-kanak bersenam

  • Jangan terlalu mengharapkan aktiviti pendidikan jasmani atau ko- kurikulum di sekolah. Ia tidak mencukupi! Lebih-lebih lagi kanak-kanak obesiti. Mereka biasanya sering diketepikan daripada mengikuti acara sukan dan sebagainya.
  • Pastikan seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari. Ia bukan sahaja menyihatkan malah mereka pasti gembira melakukannya bersama-sama!
  • Kurangkan menonton televisyen.
  • Galakkan anak-anak bermain dengan kanak-kanak lain.
  • Pastikan anak anda aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.



Penyakit yang boleh menyerang kanak-kanak obesiti



Prader willi Syndrome

  • Merupakan penyakit genetik.
  • Walaupun umur masih terlalu kecil, mereka akan makan secara terus menerus sehingga mengalami masalah obesiti.
  • Perkembangan dan pertumbuhan yang lambat.
  • Lembab dalam pelajaran.



Pushing Syndrome

  • Ia merupakan sindrom ketidakseimbangan hormon dalam badan.
  • Juga berpunca daripada genetik.



Keluarga adalah pendorong utama kanak-kanak berubah kepada gaya hidup lebih sihat. Bermula daripada pemakanan sehinggalah aktiviti yang dilakukan. Bukan mudah untuk melakukan perubahan jadi lakukan ia secara berperingkat bagi mengelakkan anak-anak berasa tertekan.







Sumber dari http://mingguanwanita.karangkraf.com/kanak-kanak-obes-risiko-penyakit-kronik-menanti-1.164852






No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..