23 April 2013

Pentingnya Iodin Semasa Hamil

 
Ketika hamil, wanita perlukan nutrien secukupnya agar diri dan bayi dalam kandungan sihat. Kekurangan sesetengah nutrien penting boleh menyebabkan kandungan bermasalah. Antara yang perlu diambil berat ialah tentang pengambilan iodin. Ikuti kupasan lanjut tentang hal ini oleh Profesor Creswell J. Eastman, Perunding Perubatan Endokrinologi dari Universiti Sydney, Australia.
Menurut Prof. Eastman, iodin penting bagi wanita hamil untuk mengelakkan bayi dalam kandungan mengalami masalah. Katanya, iodin perlu untuk perkembangan otak dan sistem saraf bayi yang normal terutamanya ketika masih dalam kandungan. Dan keperluan ini berlanjutan sehinggalah kanak-kanak tersebut berusia dua hingga tiga tahun.
Tambah beliau lagi, wanita hamil dan bayi memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon inilah yang akan menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak pada tahap yang normal. Selain itu, hormon tiroid ini dapat membantu mengekalkan tahap metabolisme badan.
Kekurangan iodin juga boleh menyebabkan paras tiroksin rendah yang akan merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak. Jadi, sangat penting memastikan bayi dalam kandungan dan kanak-kanak mendapat iodin secukupnya. Untuk pengetahuan, lazimnya, iodin tidak disimpan dalam tubuh dan perlu diambil setiap hari. Makanan yang mengandungi iodin ialah seperti makanan laut, susu dan produk tenusu. Bagi wanita hamil yang ‘vegetarian’, pengambilan susu yang secukupnya penting bagi memastikan kuantiti iodin yang mereka dapat menampung keperluan harian.
“Wanita hamil dan wanita yang menyusukan perlukan iodin lebih banyak daripada orang biasa,” kata Prof. Eastman yang turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghasilkan kajian mengenai Kekurangan Iodin dalam Kanak-kanak (IDD).
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, kekurangan iodin akan menyebabkan pelbagai masalah kepada bayi yang baru lahir. Antaranya ialah terencat akal, pembesaran terbantut, pekak, bisu dan lemah anggota badan. Oleh sebab itu, pengambilan iodin sepanjang tempoh kehamilan sangat penting. Ketahuilah bahawa tubuh hanya perlukan sedikit iodin dan bahan ini wujud dalam kebanyakan makanan.
INFO:
Iodin merupakan nutrien penting bagi manusia untuk merangsang proses tumbesaran, perkembangan saraf dan pembentukan sel otak bayi dalam kandungan dan kanak-kanak. Pun begitu, kuantiti yang diperlukan sangat sedikit iaitu sebanyak 150mikrogram (µg) setiap hari bagi orang dewasa. Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Negara dan Kementerian Kesihatan New Zealand menyarankan agar wanita hamil mengambil sebanyak 220µg iodin setiap hari. Manakala bagi wanita yang menyusukan bayi, dicadangkan agar mengambil sebanyak 270µg setiap hari.
Kekurangan iodin bagi wanita hamil boleh mengakibatkan:
  • Gangguan terhadap perkembangan otak bayi dalam kandungan
  • Keguguran
  • Kematian bayi dalam kandungan
  • Mati semasa dilahirkan
  • Kelahiran anak yang juga kurang iodin




Sumber dari http://pama.karangkraf.com/famili/pentingnya-iodin-semasa-hamil-1.136608




No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..