02 January 2013

Bahaya Beri Air Masak Kepada Bayi Bawah 6 Bulan




Walaupun dah berkali-kali di ingatkan jangan beri bayi bawah 6 bulan minum air masak, namun masih ada ibu bapa yang masih amalkan beri air masak pada bayi mereka. Antara sebab desakan orang tua, nak bagi kuning si anak cepat baik, bilas tekak anak lepas minum susu, supaya anak senang buang air dan sebagainya.

Kajian ini khas untuk bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya dan yang menyusu formula.

Semoga info-info ini dapat menyedarkan ibu bapa kenapa pemberian air masak tidak digalakkan kepada bayi berumur 6 bulan ke bawah.

Merencatkan Tumbesaran
Perut bayi sangat kecil. Apabila perut bayi telah dipenuhi air, bayi akan merasa kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu. Akibatnya segala khasiat susu ibu tidak dapat diberikan secara optima kepada bayi. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatannya kerana air tidak mengandungi sebarang khasiat. Di samping itu, kajian mendapati pemberian air glukos pada minggu pertama kelahiran dikaitkan dengan kehilangan berat badan yang banyak lalu merencatkan tumbesaran.

Merencatkan Akal
Memberi air kepada bayi di awal kelahiran didapati meningkatkan tahap bilirubin di dalam darah. Menurut pakar Laktasi dari Kanada, Anne Kirkham, pemberian air akan memburukkan lagi keadaan bayi yang dierang jaundis (sakit kuning) sehingga menyebabkan ‘kernicterus’ iaitu Terencat Akal’. Bayi juga akan menjadi bertambah mengantuk dan lesu tidak bermaya.

Mengancam Nyawa
Air boleh membawa kuman. Ini menyebabkan bayi terdedah kepada cirit birit jika kebersihan tidak dititikberatkan. Pencemaran boleh berlaku di pelbagai peringkat, seperti air diperolehi dari sumber yang tidak selamat ataupun bekas air dan puting yang tidak bersih. Air akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan.

Mengakibatkan Sawan Tarik
Air sangat berbahaya jika diberikan kepada bayi terutamanya yang berumur di bawah 5 minggu. Terlalu banyak minum air akan mencairkan garam di dalam darah bayi. Ini akan mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik. Sindrom ini dipanggil ‘Oral Water intoxication’.

Sebenarnya susu ibu sudah mencukupi untuk bayi tanpa perlu ditambah air atau cecair lain kerana susu ibu mengandungi 88% air. Kolostrum yang terhasil di awal penyusuan dapat membantu membersihkan perut bayi dan mengelakkan sembelit. Tiada air tambahan diperlukan untuk proses tersebut. Oleh itu beri bayi anda susu ibu sekerapnya.



Sumber dari facebook Persatuan Ibu-ibu Comel Mengandung


Tak sangka kan air masak pun jadi bahaya kepada baby di bawah 6 bulan.. Info ni haruslah dikongsi bersama sesiapa yang ada baby bawah 6 bulan..

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..