10 April 2011

Sepatu


Sepatu amat sinonim dengan wanita. Jadi tidak hairanlah jika wanita dianggap sebagai pengumpul sepatu yang setia. Tengok sahajalah wanita disekeliling anda. Hampir setiap hari, dia pasti akan menggayakan sepatu yang berbeza mengikut pakaian yang digayakannya.

Namun dalam 'kegilaan' wanita mengumpul sepatu, sebenarnya masih ramai yang kurang memahami akan kesesuaian sepatu dengan dirinya. Justeru, ketahuilah sepatu anda bagi meningkatkan keselesaan dan keyakinan anda kala mengatur langkah.

Angkle strap

Angkle strap atau tali mengelilingi pergelangan kaki ini sesuai untuk individu yang memiliki kaki yang jenjang, kurus dan tinggi. Tali yang mengelilingi pergelangan kaki tersebut akan membuatkan kaki tampak tidak terlalu panjang atau kurus.


Tumit tebal

Kasut jenis ini juga sesuai untuk anda yang berkaki kurus dan panjang. Tumit yang tebal dan sekata ini akan menampakkan tubuh sedikit rendah dan membuatkan pandangan lebih tertumpu ke arah kaki.


Cutaway arch

Cutaway arch atau bahagian sisinya seperti terpotong ini akan membuatkan kaki yang pendek tampak lebih jenjang dan kecil. Bahagian yang terpotong dengan hujung sepatu yang agak runcing menambahkan kesan panjang pada kaki.

Tumit mendatar (flat)

Sepatu ini sesuai untuk semua. Namun, bagi anda yang bertubuh mungil dan memiliki paha tebal, pilih sepatu dengan bahagian hujung yang agak runcing atau sempit agar kaki tampak lebih panjang. Manakala, sepatu dengan bahagian hujung bulat sesuai untuk kaki panjang dan kurus.


Knee-high boot

Kasut ini sesuai bagi anda yang ingin bergaya ranggi. Namun, boot jenis tinggi ini tidak sesuai digayakan oleh wanita yang bertubuh mungil dan memiliki paha yang besar. Bagi anda yang memiliki tubuh tinggi dan jenjang, sepatu ini amat sesuai dengan anda.


Peep-toe

Sepatu jenis peep-toe atau terbuka di bahagian hujung kaki ini sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja. Lebih membuatkan kaki tampak lebih seksi, gayakan peep-toe jenis tumit yang runcing bersama flatform depan yang agak tebal. Anda pasti akan tampak lebih tinggi dan berkeyakinan.


Hujung runcing

Sesuai untuk digayakan oleh sesiapa sahaja. Namun, sepatu yang mempunyai hujung yang runcing ini tidak disarankan untuk anda yang memiliki tubuh yang sangat tinggi dan kurus kerana akan menambahkan imej sedemikian.


Hujung bulat

Sepatu bertumit tinggi dengan bahagian depan yang bulat sesuai untuk anda yang memiliki tubuh yang tinggi dan kurus. Hujung sepatu yang membulat akan membuatkan bahagian tubuh tampak sedikit rendah. Sepatu ini tidak sesuai untuk anda yang berpaha besar atau bertubuh rendah.


Sling back/Stiletto

Sepatu jenis ini begitu diminati kerana boleh digayakan oleh sesiapa sahaja. Sling back atau tali di bahagian belakang kasut ini akan memberikan keyakinan kala melangkah. Untuk tampak lebih seksi, pilih platform tebal pada bahagian depan dan sedikit terbuka (peep-toe).


Wedge

Kasut yang memiliki tumit yang tebal bahagian depan dan belakang ini sesuai untuk semua jenis tubuh. Ia akan menambahkan keseimbangan kala melangkah dan mengurangkan rasa lenguh. Wedge didatangkan dalam pelbagai ketebalan.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..