21 March 2011

5 Perkara Agar Berat Badan Tak Kembali Naik

Proses menurunkan berat badan bukanlah suatu perkara yang mudah dan pasti mengambil masa yang agak panjang. Paling perit ialah untuk mengekalkan berat badan setelah berhempas pulas mengikut program diet sepanjang tahun. Tanpa kesabaran dan langkah berwaspada, tidak mustahil segala usaha anda selama ini menjadi sia-sia apabila berat badan kembali naik seperti sebelum ini.

Perkara inilah yang sering dialami oleh ramai individu, yang selama ini begitu gigih menjalankan program diet untuk mendapat bentuk badan idaman. Tetapi apa pula perasaan anda jika segala usaha tersebut 'dicacatkan' dengan kesalahan-kesalahan yang tidak sepatutnya anda lakukan?

Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan hanya lima peratus individu yang berjaya mempertahankan ukuran tubuh selepas menjalani program diet. Persoalan di sini, apakah rahsia individu ini sehingga mampu mempertahankannya?



LIMA PERKARA BERIKUT MERUPAKAN SEBAHAGIAN YANG MEREKA AMALKAN:-


Timbang berat seminggu sekali

Terdapat kajian yang menyatakan, menimbang berat badan secara rutin dapat membantu mengurangkan risiko penambahan berat badan secara mendadak. Jika anda dapat mengesannya dari awal, pasti lebuh mudah untuk anda melakukan program diet atau senaman, bagi menghilangkan penambahan berat yang telah dikesan. Cara terbaik, letakkan penimbang di dalam kamar tidur atau kamar mandi bagi memudahkan anda mengesan sebarang perubahan terhadap berat anda. Tetapi, jangan pula menimbang pada setiap hari. Seminggu sekali sudah memadai.


Lima sajian sayur dan buah

Berdasarkan kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC), wanita yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran sekurang-kurangnya lima sajian setiap hari, dapat mengurangkan 60 peratus risiko penambahan berat berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Ini kerana dengan mengambil buah-buahan dan sayuran, anda akan berasa kenyang dengan lebih lama berdasarkan kandungan serat dan air yang terkandung di dalamnya. Selain dijadikan sebagai salad atau dimakan mentah, anda juga boleh mengambilnya dalam bentuk jus segar tanpa gula. Makanan yang mengandungi tinggi serat memerlukan tempoh masa 24 jam untuk melalui sistem pencernaan. Oleh itu, anda tidak mudah berasa lapar.


Awasi kebiasaan harian

Lebih daripada 55 peratus individu yang gagal dalam program diet menyalahkan aktiviti atau tabiat di pejabat sebagai punca kegagalan. Mereka menyatakan, pengaruh rakan-rakan untuk mekan serta gemar menjadikan kudapan kala menyelesaikan kerja adalah punca berat semakin meningkat. Selain. itu, setiap kali berjumpa teman atau pelanggan di luar, anda juga tidak dapat mengelak daripada menjamah makanan. Bagi mengatasinya, ubah kebiasaan ini dengan tidak menyediakan sebarang kudapan atau snek di laci meja kerja anda. Begitu juga ketika bertemu pelanggan, jamah sedikit makanan misalnya buah-buahan, bagi mengahalang anda makan di luar sedar ketika sedang berurusan dengan pelanggan.


Manfaatkan setengah jam

Selain penjagaan makanan secara terkawal, senaman secara rutin juga mampu mengekalkan berat badan seimbang. Luangkan setengah atau satu jam sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk bersenam bagi mengeluarkan peluh. Jika anda melakukan senaman secara rutin, anda mungkin boleh menjadikan makanan manis seperti kuih-muih, aiskrim dan coklat sebagai makanan yang diambil sekali-sekala.


Elakkan makanan segera

Ramai individu yang mengakui, menjauhi diri daripada makanan segera adalah kaedah yang lebih berkesan mengekalkan berat badan berbanding mereka yang mengambilnya. Jika dibandingkan dengan makanan segera, makanan yang dimasak sendiri akan memudahkan anda mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahan perasa tambahan atau pewarna yang tidak sepatutnya. Bagi memudahkan kerja memasak, rujuk buku masakan yang menyajikan resipi sihat, rendah lemak tetapi mempunyai khasiat yang tinggi. Selain. itu, kaedah penyajiannya juga dapat dikawal dengan cara menggunakan minyak sedikit, memanggang, rebus dan sebagainya.



Sumber dari majalah keluarga harmoni

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..